UTHM Conference Portal, Seminar Kebangsaan Majlis Dekan-Dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia 2015

Font Size: 
HUBUNGAN BURNOUT DENGAN KEPUASAN KERJA DALAM KALANGAN GURU-GURU KEMAHIRAN HIDUP BERSEPADU (KHB) SEKOLAH MENENGAH DI DAERAH BATU PAHAT
Rohaidah Ishak, Noorazman Abd. Samad, Shafie Buyamin, Hairuddin Harun

Last modified: 2015-09-01

Abstract


Tugas guru tidak terbatas kepada mendidik, tetapi juga dibebani dengan tugas-tugas sampingan yang boleh mendatangkan stres. Stres negatif yang berlarutan akan mendatangkan burnout di mana guru-guru akan mengalami ketandusan emosi, depersonalisasi dan penurunan pencapaian peribadi. Kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti tahap burnout dan tahap kepuasan kerja guru, mengenal pasti hubungan di antara burnout dengan kepuasan kerja, serta mengenal pasti adakah terdapat perbezaan di antara tahap kepuasan kerja dengan tahap burnout. Kajian ini dilaksanakan ke atas 136 orang guru-guru Kemahiran Hidup sekolah menengah di daerah Batu Pahat dengan menggunakan instrumen borang soal-selidik. Data kajian ini dianalisis dengan menggunakan perisian Statistikal Package for the Sosial Science (SPSS) versi 21. Dapatan kajian menunjukkan guru-guru mengalami tahap burnout yang rendah di sub-skala ketandusan emosi dan depersonalisasi, serta tahap tinggi di sub-skala pencapaian peribadi. Manakala bagi kepuasan kerja guru-guru pula secara keseluruhannya berada pada tahap yang sederhana. Dapatan kajian juga menunjukkan burnout dan kepuasan kerja mempunyai hubungan songsang yang lemah di mana apabila tahap burnout meningkat, tahap kepuasan kerja menurun dan sebaliknya. Dapatan kajian perbezaan tahap kepuasan kerja dengan tahap burnout mengikut dimensi menunjukkan sub-dimensi pekerjaan itu sendiri dan gaji sekarang mempunyai perbezaan yang signifikan pada sub-skala ketandusan emosi dan depersonalisasi. Manakala bagi sub-dimensi peluang kenaikan pangkat, penyelia dan penyeliaan, dan rakan sekerja tidak mempunyai perbezaan yang signifikan. Hasil dapatan perbezaan kepuasan kerja keseluruhan pula menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan di ketiga-tiga skala burnout.