Font Size:
PENGARUH GAYA KEPIMPINAN AUTENTIK TERHADAP PENGLIBATAN MURID DALAM AKTIVITI KOKURIKULUM
Last modified: 2015-09-01
Abstract
Kajian ini dilaksanakan untuk melihat sama ada gaya kepimpinan autentik penasihat kokurikulum mempunyai hubungan dan pengaruh terhadap penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum. Kajian ini adalah satu kajian kuantitatif bukan eksperimen dengan menggunakan kaedah tinjauan untuk menjawab objektif kajian. Responden kajian terdiri daripada 280 orang murid sekolah menengah yang terdiri daripada murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 4 dengan menggunakan pensampelan kebarangkalian iaitu rawak berstrata diikuti dengan rawak mudah. Satu set soal selidik telah digunakan kajian ini iaitu Gaya Kepimpinan Autentik menggunakan instrumen Authentic Leadership Questionnaire (ALQ) oleh Walumba et al., (2008) manakala instrumen penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum menggunakan soal selidik yang telah digunakan oleh Yuvanes Kuppan (2006). Sebuah kajian rintis telah dilaksanakan untuk menguji kesahan dan kebolehpercayaan instrumen kajian. Analisis statistik inferens seperti ujian t, Korelasi Pearson dan Regresi Pelbagai digunakan untuk menguji hipotesis nol pada aras signifikan p<0.05. Program yang digunakan untuk menganalisis data adalah program SPSS versi 20. Dapatan kajian menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan (t=1.052, df=272.51, p>0.05) gaya kepimpinan autentik berdasarkan jantina murid. Di samping itu dapatan kajian juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan (t=.745, df=278, p>0.05) gaya kepimpinan autentik berdasarkan tingkatan. Analisis Korelasi Pearson pula menunjukkan terdapat hubungan yang sederhana dan signifikan (r=.566, p<0.05) antara gaya kepimpinan autentik dengan penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum. Sementara ujian Regresi Pelbagai pula menunjukkan terdapat pengaruh yang signifikan bagi keempat-empat aspek gaya kepimpinan autentik iaitu aspek keseimbangan (β=.252, F=17.059, p<.05), aspek kesedaran diri (β=.509, F= 97.018, p<.05), aspek ketelusan (β=.175, F=9.166 , p<.05) dan aspek etika (β=.123, F=4.126 , p<.05) terhadap penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum. Keseluruhannya gaya kepimpinan autentik penasihat kokurikulum mampu mempengaruhi penglibatan murid sekolah menengah dalam aktiviti kokurikulum. Penasihat kokurikulum yang efisien dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang unggul pasti dapat menarik minat murid untuk melibatkan diri secara aktif dan seterusnya dapat membentuk modal insan yang mampu memberikan sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Kata kunci: kepimpinan, autentik, kokurikulum, penglibatan
Kata kunci: kepimpinan, autentik, kokurikulum, penglibatan