Last modified: 2015-09-04
Abstract
ABSTRAK
Kajian tinjauan ini bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh dan sumbangan variabel kesedaran metakognitif terhadap pencapaian akademik dalam kalangan pelajar politeknik. Kajian kuantitatif ini melibatkan 510 orang pelajar daripada empat buah politeknik sebagai responden. Data kajian diperoleh melalui soal selidik yang diadaptasi daripada Metacognitif Awareness Instrument (MAI) (Schraw dan Dennison, 1994). Pencapaian pelajar diukur melalui keputusan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) mereka yang ditukarkan kepada skala lima titik. Data kajian dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS versi 21. Analisis deskriptif (min dan sisihan piawai) dan analisis inferensi iaitu ujian statistik parametrik (ANOVA, korelasi Pearson dan regresi berganda) telah dilakukan untuk menjawab soalan dan hipotesis kajian. Min keseluruhan 3.71 dan nilai sisihan piawai 0.78 menunjukkan tahap kesedaran metakognitif dalam kalangan pelajar politeknik terhadap Matematik Pengurusan adalah sederhana tinggi. Nilai korelasi dan regresi masing-masing adalah 0.501 dan 0.204 dengan nilai R2 sebesar 0.214. Ini menunjukkan variabel kesedaran metakognitif mempunyai pengaruhi yang signifikan terhadap pencapaian pelajar politeknik dalam Matematik Pengurusan. Cadangan penambahbaikan dan kajian lanjutan telah diberikan sebagai kesinambungan kajian ini. Kesedaran metakognitif mampu meningkatkan pencapaian pelajar.