Last modified: 2015-09-01
Abstract
Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah banyak mempengaruhi budaya pembelajaran masa kini. Ini termasuklah merevolusikan teknik pengajaran, kaedah pelajar belajar dan secara keseluruhannya cara pendidikan dikendalikan. Seiring dengan dasar kerajaan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 yang mana anjakan ke-9 memfokuskan kepada ‘Online Globalized Learning’.Ini seterusnya memungkinkan pembelajaran secara dalam talian dijalankan untuk semua kursus pengajaran. Sejajar dengan itu, pengenalan Web versi 2.0 telah memberi impak yang cukup signifikan. Berbeza dengan Web versi 1.0 yang hanya membenarkan pengguna untuk melihat serta membaca paparan web, Web versi 2.0 yang mula diaplikasikan pada awal tahun 2000, telah mengubah lanskap web secara total iaitu pengguna kini boleh memberi input, memuat naik fail serta membina rangkaian maklumat sendiri. Web versi 2.0 yang popular termasuklah Facebook, Youtube, Twitter, blogspot serta banyak lagi. Namum begitu, jika diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran web versi 2.0 ini akan dapat membantu golongan pendidik serta pelajar dalam interaksi secara ‘blended learning’ dan ‘ubiquitous learning’ yang diaplikasikan di institut pengajian tinggi di Malaysia. Kedua-dua mod pembelajaran ini berteraskan konsep iaitu guru serta pelajar dapat berinteraksi walaupun di luar waktu kuliah. Justeru itu, kertas kerja ini akan membincangkan tahap kesediaan pelajar di Fakulti Pendidikan dalam menggunakan web sebagai medium pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya membincangkan beberapa laman Web 2.0 yang boleh diaplikasikan oleh golongan pendidik dalam menyokong pembelajaran di dalam dan di waktu kuliah. Laman web yang dibincangkan diharap akan dapat memberi perspektif baru dalam pengajaran dan pembelajaran di kalangan pendidik.