Last modified: 2015-09-01
Abstract
Pemikiran secara reflektif melibatkan pemikiran aras tinggi serta memerlukan kebolehan untuk melahirkan rasional terhadap sesuatu tindakan atau keputusan yang diambil. Kebolehan seseorang dalam membuat refleksi merupakan satu kemahiran yang penting kerana proses ini mampu membantu individu membuat penambahbaikan dalam hasil pembelajarannya. Dalam kursus Komputer dalam Pendidikan, pelajar bukan sahaja didedahkan dengan kemahiran berkaitan teknologi semasa, malah diasuh agar membina pengetahuan melalui aktiviti berfikir, berbincang dan berkongsi serta mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam konteks yang bermakna. Secara tidak langsung, ia memerlukan pemikiran pelajar yang reflektif. Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti sejauhmana aktiviti pembelajaran dalam kursus ini membantu melahirkan pemikiran reflektif dalam kalangan pelajar. Seramai 123 pelajar tahun pertama di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia mengambil bahagian dalam kajian yang menggunakan satu set soal selidik menggunakan Google Form. Data dianalisis secara deskriptif menggunakan perisian SPSS 22 menggunakan kerangka kategori reflektif (Kember et al. 1999). Hasil analisis menunjukkan bahawa wujudnya tahap pemikiran secara reflektif dalam kalangan pelajar yang dikaji, iaitu di bawah kategori ‘refleksi’ dan ‘refleksi kritikal’. Namun demikian, min tertinggi adalah bagi kategori ‘kefahaman’ (M=4.26) yang secara tidak langsung memberi isyarat bahawa lebih usaha diperlukan oleh para pensyarah untuk meningkatkan lagi kapasiti pemikiran reflektif dalam kalangan pelajar terbabit. Kertas kerja ini juga membincangkan strategi yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang.