Last modified: 2015-09-01
Abstract
Rakyat yang banyak membaca menjadi aset kepada pembangunan negara. Namun, senario hari ini menunjukkan bahawa amalan membaca semakin berkurang seiring dengan peningkatan usia. Remaja hari ini cenderung untuk menjadi ‘reluctant reader’ iaitu golongan yang tahu membaca tetapi menolak untuk membaca. Oleh itu, usaha untuk meningkatkan minat dan motivasi membaca perlu disemai sejak di bangku sekolah lagi. Sekolah menerusi kepimpinan pengetua dapat menjadi agen perubahan dan peranan pengetua selaku pemimpin literasi perlu diperkasakan agar segala sumber yang ada dapat digembeleng untuk mengatasi krisis amalan membaca ini. Sehubungan itu, kertas ini bertujuan untuk mengenalpasti peranan pengetua selaku pemimpin literasi dalam meningkatkan minat dan motivasi membaca pelajar di sekolah menengah. Kaedah yang digunakan adalah berdasarkan penelitian dan analisis kajian literatur dari artikel jurnal, prosiding persidangan, buku dan dokumen kerajaan yang berkaitan dengan topik penyelidikan. Model Kepimpinan Literasi Remaja Irvin, Meltzer dan Dukes (2007) digunakan sebagai garis panduan dalam pelaksanaan analisis dokumen ini. Kajian literatur mendapati terdapat 11 peranan yang dimainkan oleh pengetua selaku pemimpin literasi di sekolah. Aspek sokongan dan bimbingan, pembangunan staff dan penglibatan warga sekolah dan PIBG merupakan peranan yang paling kerap dibincangkan. Hasil dapatan dapat dijadikan garis panduan kepada para pengetua dalam menjalankan fungsi selaku pemimpin literasi dengan lebih berkesan. Adalah dicadangkan kajian lanjutan berkaitan kepimpinan literasi di sekolah menengah perlu dilaksanakan secara lebih mendalam menggunakan pendekatan kualitatif dan kuantitatif terutama dalam konteks sistem pendidikan tempatan.
Kata kunci - kepimpinan literasi; kepimpinan pengetua; minat membaca; motivasi membaca