Last modified: 2015-09-04
Abstract
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bermatlamat untuk melahirkan pengurusan dan pemimpin sekolah yang efisien dan berkualiti. Bagi merealisasikan matlamat itu, PPPM 2013-2025 telah memberi perhatian terhadap tugas dan tanggungjawab pemimpin sekolah dalam merancang, menyelaras dan menilai aktiviti instruksional agar dapat meningkatkan prestasi pemimpin sekolah dan seterusnya mencapai pembangunan modal insan berinovatif dan berkemahiran tinggi. Organisasi seperti sekolah tidak dapat mencapai kecemerlangan dalam pendidikan tanpa memiliki pemimpin sekolah yang mempunyai kemahiran untuk bertindak balas secara kreatif dan inovatif terhadap apa jua perubahan. Penyelesaian kepada masalah iniĀ memerlukan perubahan yang radikal. Kertas kerja ini menyarankan bahawa amalan kepimpinan yang inovatif mampu membantu pemimpin sekolah untuk menyelesaikan masalah ini. Kepimpinan inovatif bererti memperkenalkan sesuatu yang baru seperti idea, kaedah, teknik, proses, produk, perkhidmatan atau penemuan untuk menyelesaikan masalah semasa dan memenuhi keperluan pelajar di masa kini dan pada masa akan datang. Pemimpin inovatif dapat menyelesaikan masalah semasa dan jangkaan pada masa akan datang. Mereka adalah berwawasan dan komited untuk meningkatkan pencapaian sekolah dan seterusnya dapat mewujudkan modal insan yang berinovatif dan berkemahiran tinggi. Pengkaji menggunakan singkatan "HELPSS" untuk menyerlahkan kemahiran kepimpinan dan ciri-ciri yang banyak pengamal percaya adalah perlu untuk melayakkan seseorang itu sebagai seorang pemimpin yang inovatif. Adalah diharapkan bahawa laporan tersebut dapat membantu pemimpin sekolah untuk mengaplikasikan kepimpinan inovatif ini di dalam menghadapi cabaran dan perubahan di sekolah.