Last modified: 2015-09-01
Abstract
Kajian pembinaan alat ukur Higher Education Potential Inventory (HEPI) bermula apabila perbincangan berkaitan pencapaian pelajar secara holistik yang merangkumi bukan hanya kepada pencapaian akademik tetapi juga pencapaian lain seperti afektif, sosial dan tingkah laku dilihat penting dalam kehidupan pelajar universiti. Kepercayaan bahawa gabungan kemahiran bukan kognitif dan kemahiran kognitif dapat meramal pencapaian seseorang, penghasilan HEPI diharap mampu mengukur atribut/sifat pelajar yang didapati boleh mempengaruhi pencapaian akademik. Alat ukur HEPI diharap dapat menyaring dan memberi maklumat berkaitan aspek potensi individu. Justeru, pemilihan pelajar dapat dibuat secara holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Ia juga selaras dengan aspirasi USM bagi melahirkan modal insan berteraskan agenda ‘mentransformasikan penyuburan dan pembelajaran bagi mencapai kecemerlangan akademik dan profesionalisme, membentuk individu holistik dan memberikan komitmen yang mapan ke arah hasrat masyarakat, wawasan negara dan aspirasi sejagat’ (APEX Transformation Agenda, USM, 2008). Secara umumnya, tujuan dan fungsi alat ukur HEPI dibina adalah untuk a) Membantu USM menyaring dan memilih calon pelajar yang paling sesuai berdasarkan kombinasi pencapaian akademik dan potensi diri; b) Membantu memberi maklumat berdasarkan potensi pelajar dalam dimensi - Kemahiran Bekerja, Kemahiran Berfikir dan Kemahiran Kendiri - yang boleh digunakan sebagai satu kriteria pemilihan atau digunakan untuk menggilap dan mengembangkan potensi pelajar mengikut keperluan bidang pengajian yang diikuti; c) Membantu universiti merancang program latihan yang sesuai bagi meningkatkan potensi modal insan pelajar USM. HEPI mengukur tiga dimensi iaitu kemahiran bekerja yang merangkumi konstruk interpersonal dan kerja berpasukan, kemahiran berfikir yang merangkumi konstruk penyelesaian masalah dan metakognitif dan kemahiran kendiri yang merangkumi ketahanan diri dan intrapersonal. Dengan kebolehpercayaan .96, HEPI mempunyai 90 item dan boleh mengukur potensi secara manual dan secara atas talian. Diharap alat ukur HEPI ini menjadi satu inovasi dan medium dalam usaha pihak Universiti Sains Malaysia memilih serta mengembangkan potensi pelajarnya.