Overview

Bidang Pendidikan merupakan penyumbang utama dalam pembentukan dan pembangunan sosial, ekonomi dan politik sesebuah negara. Menerusi pendidikan, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki berupaya memperbaiki taraf hidup. Selanjutnya, hasilan pembentukan masyarakat yang berkompetensi tinggi berupaya melahirkan guna tenaga kerja bercirikan modal insan yang seimbang dan harmonis serta mampu meningkatkan ekonomi negara.

Pendidikan juga menjadi asas pembinaan negara bangsa dan pengukuhan perpaduan. Melalui interaksi masyarakat yang berupaya membezakan impak positif dan negatif, membolehkan individu daripada pelbagai latar belakang untuk memahami, menerima dan menghargai perbezaan tersebut serta berkongsi pengalaman dan aspirasi untuk membina masa depan Malaysia.

Namun, sejak kebelakangan ini, sistem pendidikan negara telah menjadi perkara yang semakin menarik perhatian dan perbahasan pihak berkepentingan dalam pendidikan. Ibu bapa dan majikan meletakkan harapan tinggi terhadap sekolah untuk melahirkan geneasi yang berkualiti serta mampu menyahut cabaran abad ke 21. Justeru, dalam menyedari hakikat bahawa sistem pendidikan merupakan sebuah proses transformasi yang kompleks dan tempoh yang panjang diperlukan untuk melihat impak pelaksanaannya, kolaboratif dan komitmen semua pihak berkepentingan dalam pendidikan amat diperlukan.

Untuk mencapai hasrat yang dibincangkan di atas, kerajaan telah melaksanakan pelbagai tindakan proaktif. Misalnya kerajaan sedang menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, sebagai kesinambungan kepada Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Pembangunan pelan pendidikan ini melibatkan pelbagai latar belakang masyarakat dan penyelidikan meluas sebelum diwar-warkan sebagai pelan pembangunan pendidikan negara. Antara intipati khusus pelan ini ialah tumpuan kepada pewujudan ekosistem inovasi (lonjakan ke-7), selain daripada 10 lonjakan yang diutarakan, iaitu:

a.   Graduan keusahawanan, holistik dan seimbang

b.   Kecemerlangan bakat pendidikan tinggi

c.   Masyarakat yang belajar sepanjang hayat

d.   Kualiti graduan TVET

e.   Kelestarian kewangan

f. Pemerkasaan tadbir urus

g. Ekosistem inovasi

h.   Tersohor di peringkat global

i. Pembelajaran dalam talian secara global

j. Penyampaian pendidikan tinggi yang ditransformasi

Untuk memahami dengan jelas mengenai pelan pembangunan negara dalam aspek konsep dan amalan, seminar ini berupaya menjadi platform bagi merealisasikan proses transformasi pendidikan. Seminar ini berupaya membimbing peserta untuk tindakan pelaksanaan ke arah pembangunan modal insan kreatif dan inovatif. Satu perbincangan meja bulat juga akan diadakan dalam kalangan pembentang kertas kerja institusi bagi membincangkan isu-isu berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dari peringkat akar umbi.