Last modified: 2015-09-04
Abstract
Kaunselor merupakan profesional yang memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan kaunseling di seting sekolah. Secara tidak langsung, peranan kaunselor di sekolah berkait rapat bagi mengisi keperluan negara maju 2020 untuk membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berperibadi mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Bagi melaksanakan peranan tersebut, kaunselor perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan bagi memenuhi tuntutan dan keperluan semasa berkaitan kesejahteraan pelajar sekolah secara holistik. Ini termasuklah kesihatan emosi, mental dan tingkahlaku. Kajian ini bertujuan untuk meneroka bidang tugas dan tanggungjawab lima kaunselor di sekolah dengan mengenal pasti kepuasan, kecekapan, dan cabaran yang dialami oleh profesional ini. Selain itu, kajian ini juga turut memperkenalkan pendekatan terapi bermain sebagai salah satu inovasi yang bertepatan dengan hala tuju dalam amalan kaunseling di sekolah melalui bengkel latihan yang ditawarkan kepada peserta kajian. Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang menggunakan analisis data pemerhatian dan temubual yang dijalankan. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa wujud keperluan untuk kaunselor meningkatkan tahap profesionalisme dan potensi diri melalui latihan dan kursus sebagai persediaan untuk perkhidmatan yang terbaik berikutan tanggungjawab kaunselor yang rencam dan perlu mengendalikan isu klien yang pelbagai. Pendekatan terapi bermain sebagai satu inovasi perlu dilakukan dalam perkhidmatan kaunseling di seting sekolah bagi membantu klien secara lebih interaktif, kreatif dan berkesan. Hasil dapatan kajian juga turut memberikan celik akal dan persepsi baharu kepada kaunselor tentang kanak-kanak itu sendiri dan juga kepentingan bermain. Kajian ini telah membuktikan profesion kaunseling di sekolah perlu diberi nafas baru dengan menekankan aspek keperluan latihan dari masa ke semasa untuk meningkatkan kepuasan dan kecekapan kaunselor dalam mengendalikan kes-kes kaunseling. Peranan penggubal-penggubal polisi yang terdiri daripada pihak sekolah dan kementerian adalah penting untuk proses penambahbaikan bidang tugas hakiki kaunselor dalam menyokong mereka menghadapi cabaran dan sebagai satu keberhasilan negara pada masa akan datang.
Kata Kunci: Kaunseling, Kepuasan, Kecekapan, Cabaran, Hala Tuju