Last modified: 2016-09-20
Abstract
Penekanan aspek kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa merupakan elemen yang penting bagi melahirkan graduan yang mampu berdaya saing, cekap, tahan lasak dan fleksibel apabila berhadapan dengan situasi di alam pekerjaan. Isu berkaitan pengangguran di kalangan siswazah sering diperkatakan di kalangan masyarakat dan boleh dianggap sebagai satu kegagalan institusi pendidikan dalam melahirkan graduan berkualiti. Antara kelemahan graduan adalah tidak berketerampilan dan tidak mempunyai kemahiran insaniah . Kebanyakan pelajar hari ini tidak seiring dengan kehendak industri kerana perubahan teknologi di industri terlalu pantas. Usahasama antara industri dan institusi pendidikan merupakan pemangkin ke arah pemantapan pendidikan tinggi. Di Malaysia kerjasama antara institusi pendidikan dengan industri dari segi memberi latihan kepada pelajar masing kurang dilaksanakan dan hanya tertumpu kepada latihan industri yang diwajibkan ke atas pelajar. Oleh itu, sesebuah institusi yang inginkan graduan itu dilahirkan boleh bekerja dan berjaya dalam sesuatu kerjaya, maka kurikulum pendidikan mestilah selaras dengan kemahuan pihak industri. Penerapan kaedah WBL (Work Based Learning) yang melibatkan pihak industri mampu melahirkan pelajar yang berkemahiran insaniah tinggi. WBL merupakan pendekatan pembelajaran yang menjurus kepada teori konstruktivisme yang dijadikan sebagai satu strategi pendidikan yang telah diamalkan di seluruh dunia dalam mengembangkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman industri pelajar mahupun guru.
Kata Kunci- work based learning, kemahiran insaniah