Last modified: 2016-09-22
Abstract
Kesedaran tentang kreativiti sebagai salah satu atribut modal insan yang penting telah mula wujud sejak reformasi kurikulum sekolah di Malaysia bermula dengan penggubalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dalam tahun 1983 dan dilangsungkan awal 1990an dengan Kurikulum Bersepadu dimana pemikiran kreatif dikelompokkan bersama pemikiran kritis sebagai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Kini, pemikiran kreatif telah disebatikan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan kemahiran pemikiran aras tinggi (KBAT) untuk pelajaran sekolah menengah. Kajian ini bertujuan untuk meninjau sebarang pola dan trenda berkaitan dengan penyelidikan tentang kreativiti atau pemikiran kreatif yang dapat diakses dari pangkalan data elektronik di Pusat Dokumentasi Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) dalam Kementerian Pendidikan Malaysia. Kaedah kajian sejarah berbentuk analisis dokumen (tesis) dari tahun 1979 sehingga Julai 2015 dilaksanakan dan statistik deskriptif digunakan untuk memperihalkan pola dan trenda. Antara 278 tesis yang merangkumi 213 (76.6%) tesis ringkas ijazah pertama dan 65 (23.4%) tesis penyelidikan pengajian tinggi yang dianalisis, 229 tesis (82.3%) ditulis dalam Bahasa Melayu, 49 (17.7%) tesis ditulis dalam Bahasa Inggeris dan hanya 4 (1.4%) tesis adalah hasil pelajar universiti luar negara. Analisis terperinci dibuat hanya kepada 65 tesis pasca ijazah yang merangkumi 51 (18.4%) tesis ijazah sarjana dan 14 (5.0%) tesis ijazah kedoktoran. KBKK merupakan tema yang terpilih dalam kalangan penyelidik ijazah sarjana manakala tema kreativiti atau pemikiran kreatif menjadi tema yang paling disukai oleh penyelidik peringkat ijazah kedoktoran. Para pelajar (31 kajian) dan guru (22 kajian) merupakan responden yang paling kerap dipilih dalam kajian manakala responden atau sasaran lain seperti guru pelatih (5 kajian) , resos (4 kajian) , pentadbir (2kajian), responden kumpulan lain (2 kajian) adalah tidak signifikan. Secara keseluruhan, keputusan kajian menunjukkan bahawa bilangan tesis kedoktoran sehingga tahun 2015 dalam kreativiti atau pemikiran kreativiti sama ada dalam bentuk ‘stand alone’ mahu pun dalam bentuk KBKK atau KBAT adalah sangat terhad.
(302 perkataan)