UTHM Conference Portal, Seminar Kebangsaan Majlis Dekan-Dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia 2015

Font Size: 
KOMPETENSI PERIBADI, PEDAGOGI, PROFESIONALISME GURU DAN PENCAPAIAN AKADEMIK SEKOLAH-SEKOLAH BERPRESTASI RENDAH DI PANTAI BARAT UTARA NEGERI SABAH
Losius Goliong, Mohd Khairuddin Abdullah, Rosy Talin, Halimatus Saadiah Mat Saad

Last modified: 2015-09-05

Abstract


Kajian ini meninjau aspek kompetensi peribadi, pedagogi, profesionalisme guru dan pengaruhnya terhadap pencapaian akademik sekolah. Pencapaian akademik sekolah dalam kajian ini adalah merujuk kepada prestasi sekolah dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Kerangka kajian adalah berdasarkan Standard Guru Malaysia yang ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia. Data kuantitatif diperoleh dengan mengedarkan soal selidik kepada 111 responden dalam kalangan guru-guru di sekolah berprestasi rendah daerah Ranau, Sabah. Sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah fokus KPM ialah sekolah-sekolah yang masih berada di Band 5, 6, 7 dan Gred Purata Sekolah (GPS) masih berada pada tahap 3.00 ke atas. Guru-guru di sekolah berkenaan diletakkan di bawah bimbingan pegawai pembimbing School Improvement Specialist Coaches Plus (SISC+) dari KPM untuk membantu menambahbaik kualiti pengajaran guru bagi meningkatkan pencapaian akademik di sekolah-sekolah berkenaan. Statistik deskriptif dan inferensi digunakan untuk menganalisis data kuantitatif. Dapatan kajian menunjukkan pengaruh antara kompetensi dan profesionalisme guru dengan pencapaian akademik sekolah dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

 

Kata kunci: Kompetensi, pedagogi, profesionalisme