UTHM Conference Portal, Seminar Kebangsaan Majlis Dekan-Dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia 2015

Font Size: 
MENGENALI INVENTORI MARAH REMAJA
NOR SHAFRIN AHMAD, Abdul Ghani Abdullah, Rahimi Che Aman

Last modified: 2015-09-01

Abstract


Marah ditunjukkan oleh individu akibat daripada rangsangan yang mengganggu keseimbangan emosi, pemikiran dan tingkah laku. Setiap individu mengalami perasaan marah, namun intensiti kemarahan adalah berbeza bergantung kepada cara kemarahan itu ditangani dan dikawal. Ekspresi kemarahan ditunjukkan dengan pelbagai keadaan.  Bagi kemarahan yang ditunjukkan secara nyata, maka intervensi untuk membantu menanganinya adalah lebih mudah berbanding dengan kemarahan yang dipendam atau disembunyikan. Justeru jenis ekspresi kemarahan perlu dikenal pasti agar intervensi awal dalam usaha menangani kemarahan yang membawa kepada keadaan bahaya boleh dihindari. Inventori Marah Remaja telah dibina dengan bantuan daripada Geran Penyelidikan Universiti Sains Malaysia mulai tahun 2010 dan seterusnya dimantapkan dengan dapatan kajian kedua pada tahun 2014. Seramai 5402 responden terlibat dalam kajian fasa pertama pembinaan IMR dan sebanyak 3348 responden dalam fasa ke dua. Kesemua responden terlibat merupakan pelajar sekolah menengah. IMR yang dibina berupaya mengenal pasti tiga jenis domain dalam kemarahan iaitu i)kemarahan yang ditunjukkan secara luaran (agresif fizikal dan verbal), ii) kemarahan yang ditunjukkan secara dalaman (pasif) dan kawalan kemarahan (ekstrinsik dan intrinsik). IMR boleh digunakan secara manual atau secara atas talian. Masa antara 10 hingga 15 minit diperuntukkan untuk menjawab IMR. Kebolehpercayaan IMR adalah tinggi iaitu 0.79 pada fasa pertama kajian dan 0.84 pada fasa kajian kedua.  Dengan menjawab IMR, ekspresi kemarahan remaja boleh dikenal pasti melalui jumlah skor disamping penjelasan bagi setiap jenis ekspresi yang ditunjukkan setiap responden. Justeru, ekspresi kemarahan yang dikenal pasti  dapat membantu para pentadbir, guru dan kaunselor menjalankan intervensi awal kepada para pelajar mereka. Keadaan ini juga  dapat mencegah kemarahan daripada berleluasa dan berterusan yang boleh memberi kesan negatif dan tidak sihat kepada semua pihak.