UTHM Conference Portal, Seminar Kebangsaan Majlis Dekan-Dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia 2015

Font Size: 
PENERAPAN NILAI RETORIK DALAM KALANGAN GURU PENDIDIKAN KHAS ALIRAN KEMAHIRAN DARI PERSPEKTIF PELAJAR MASALAH PENGLIHATAN
Lee Ming Foong

Last modified: 2015-09-01

Abstract


Guru mesti menguasai kemahiran untuk mendidik pelajar berkeperluan khas supaya mereka mampu melibatkan diri dalam pembangunan negara. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti pendekatan penerapan nilai retorik dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi guru pendidikan khas dari perspektif pelajar bermasalah penglihatan. Reka bentuk kajian yang digunakan adalah kajian kualitatif berbentuk kajian kes. Peserta kajian terdiri daripada sembilan orang pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura. Data diperoleh melalui kaedah temu bual. Analisis data dilakukan melalui pengekodan untuk mendapatkan tema dan kategori. Perisian NVivo 8 digunakan dalam proses menganalisis data. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa majoriti pelajar berpendapat guru mereka telah menerapkan nilai retorik dengan pelbagai pendekatan yang dapat membantu menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan. Bagi pendekatan penerapan ethos, pelajar berpendapat guru mempunyai kemahiran praktikal baik yang dapat ditunjukkan melalui kaedah demonstrasi semasa P&P. Kebajikan pelajar turut diambil berat oleh guru melalui keprihatinan guru terhadap kesihatan dan bantuan kewangan. Di samping itu, guru menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam mendidik pelajar pendidikan khas. Bagi pendekatan pathos, guru telah menunjukkan sikap mesra, sabar, dan hormat kepada pelajar melalui kaedah penceritaan dalam proses P&P. Bagi penerapan logos pula, pelajar berpendapat bahawa guru telah menerapkan nilai ini melalui pengetahuan yang dimiliki. Secara ringkasnya, nilai retorik amat penting dalam diri seorang pendidik. Ini kerana guru yang berperanan utama untuk memastikan kejayaan pelajar dengan bermulanya daripada sesi P&P yang berkesan dan berkualiti.